Sunday, 26 June 2011

Bersabarlah Duhai Hati

Bersabarlah Duhai Hati

 

Kehidupan ini adalah permainan dalam pelbagai adegan yang mencabar dan penuh dugaan serta ujian Allah. 
Sesungguhnya segala dugaan bertujuan menguji kesabaran dan tahap keimanan seseorang hamba.

Apabila terujinya seseorang hamba, maka segala mehnah dari-Nya itu adalah sebagai penghapus dosa yang menggantikan hukuman di akhirat kelak.

Kadangkala apabila diuji, kita merasa cukup kuat dan kental jiwa untuk menempuh segala dugaan yang mendatang, namun ada masanya pula kita cukup lemah dan merasa hampir rebah dalam perjuangan meniti kehidupan.

Ada kalanya kita berupaya melepasi ujian itu, namun ada kalanya juga kita merasakan tidak berupaya menghadapinya lantas merungut dengan apa yang berlaku.

Sesungguhnya tidak kita nafikan, ada ketika kita tidak mampu mengelak daripada menghadapi tekanan dalam menjalani kehidupan. Pelbagai tekanan dihadapi menyebabkan kita hilang semangat dalam menempuh cabaran dan dugaan yang datang silih berganti atau secara bertimpa-timpa.

Lihatlah betapa lemah dan kerdilnya kita, begitu cepat hilang pergantungan sedangkan Allah SWT sedang menduga.

Ujian yang dihadapi oleh manusia di dunia ini adalah dalam dua bentuk iaitu sama ada kesusahan atau kesenangan. Kedua-dua ujian itu benar-benar menguji kita sebagai hambanya.

Ingatlah bahawa kehidupan di dunia yang meliputi kemewahan dengan segala pangkat kebesaran dan kesenangan itu adalah sekadar ujian. Sesungguhnya hanya bagi mereka yang terpedaya yang akan hanyut dengan ujian ini.

Sedangkan dugaan kesusahan dan kesengsaraan di dunia pula, kadangkala membuatkan kita rasa lemah dan putus asa. Kadangkala kita seringkali mengeluh dengan apa yang ditetapkan untuk kita, dan seringkali jua kita persoalkan itu dan ini tentang takdir yang telah tertulis oleh-Nya. Apakah dengan penerimaan sebegini kita fikir kita cukup redha dengan ketentuan-Nya? Kadangkala pula kita seringkali merumuskan itu dan ini tentang ketetapan-Nya.

'Jikalau dugaan ini tiada, sudah tentu aku begini...'
'Jikalau ini tidak terjadi sudah tentu aku begitu.... '

Apakah kita fikir kita lebih tahu dari Dia yang menciptakan kita? Dan apakah kita fikir kita sebenarnya lebih tahu apa yang terbaik untuk kita?

Subhanallah. Maha suci Allah!

Sudah tentu kita hamba yang kerdil ini tidak tahu apa-apa berbanding Dia yang Maha Sempurna. Namun tanpa kita sedari segala persoalan yang timbul dibenak kita sebenarnya telahpun terjawab dalam Kalam Allah. 

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan sesuatu, maka Dia juga Maha Mengetahui persoalan yang bakal timbul di fikiran hambaNya. Maka Dia lebih dahulu menjawab persoalan itu dalam ayat-ayat-Nya.

Inilah jawapan Allah tehadap persoalan yang kadangkala timbul dalam hidup kita.

Kenapa semua ini terjadi padaku?
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah : 216)

Kenapa terlalu berat ujian ini?
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan Kesanggupannya." (Al-Baqarah : 286)

Terasa kehidupan ini sudah tiada maknanya lagi bagiku. Mengapa?
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman." (Ali Imraan : 139)
"... ..dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." (Yusuf : 87)

Bagaimana harus ku hadapi semua ini?
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk." (Al-Baqarah : 45)

Apa yang akan kudapat daripada semua ini?
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.." (At-Taubah : 111)

Kepada siapa harus aku berharap?
"Cukuplah ! Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal." (At-Taubah : 129)

Berimankah aku?
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta?" (Al-Ankabut : 2-3)

Renungi dan redhalah terhadap ketentuan Allah SWT. Pasti tersingkap hikmah yang tersembunyi di sebalik setiap ujian-Nya. Bersabarlah duhai hati. Moga kita menjadi hamba yang redha dan diredhai-Nya.

- Artikel iluvislam.com

Thursday, 23 June 2011

Dakwah Itu Tugas Siapa?


Dakwah Itu Tugas Siapa?


alt
"Dakwah? Diri sendiri pun tak betul, ada hati nak tegur orang lain? Aku tak mampu lagi la, tunggu la sikit masa lagi."
Sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, setiap muslim secara langsung atau tidak, perlu saling nasihat menasihati dan berdakwah antara satu sama lain. Tanggungjawab itu sudah tercatat sedari loh mahfuz lagi. Kita bukan sesiapa untuk menidakkan tugas ini.
Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah Ayat 30:
"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat. Aku hendak menjadikan khalifah di bumi." mereka berkata, "Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memujiMu dan menyucikan namaMu?" Dia berfirman, "Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."
Ramai diluar sana yang beranggapan seperti saya. Mungkin mereka tersilap faham akan konsep dakwah yang sebenar. Yelah, mana mungkin mahu berdakwah andai diri sendiri masih saja terumbang-ambing dengan keseronokan duniawi. Bagaimana mahu berdakwah kalau diri sendiri pun sekejap begitu sekejap begini. Namun sekarang,saya sedar bahawa dakwah itu tugas setiap manusia yang diutus menjadi khalifah di muka bumi Allah ini. Menurut tafsir Al-Quran, "Khalifah" pada ayat 30 ini bermaksud pengganti, pemimpin atau penguasa. Manusia diutuskan ke muka bumi ini untuk memimpin dalam mencapai keredhaanNya.
Tugas dakwah memang berat. Saya akui kebenarannya. Untuk diri saya yang baru mula bertatih ini, sememangnya kerja-kerja dakwah itu tidak mudah. Kerana bukan semua mampu berfikir seperti mana yang kita fikirkan. Namun, itulah tugas seorang hamba Allah yang bernama Khalifah. Tugas seorang hamba Allah yang perlu sentiasa meningkatkan diri sendiri dan menarik sahabat-sahabat agar bersama-sama berdiri di atas landasan iman yang kukuh.
Seorang yang  berdakwah perlu mengamalkan cara dakwah yang bersifat 'Qudwah hasanah'iaitu Dakwah melalui tauladan yang baik. Sebagai contoh, kita hendaklah menunjukkan contoh yang baik melalui perbuatan kita sendiri. Salah satu contoh adalah senyum. Senyumlah kerana ia seindah suria. Melalui senyuman, lebih mudah dakwah kita akan diterima dan ukhuwah juga boleh terjalin.
Oleh kerana itu, senyumlah kepada sahabat handai dan saudara mara. Anda tidak akan rugi apa-apa hanya kerana anda senyum. Malah, anda akan bahagia. Namun, perlulah diingatkan, senyumlah pada yang berhak sahaja. Kepada para wanita muslimah senyumlah dengan penuh batasan. 
Selain itu kita perlu bercakap dan berdakwah secara lemah lembut. Akan tetapi lemah lembut yang dimaksudkan bukanlah bermakna bercakap dengan nada mendayu-dayu dengan bukan muhrim . Sekiranya perlu untuk bercakap dengan seseorang yang bukan muhrim, anda perlulah melembutkan cara percakapan tetapi perlu juga tegas menyampaikan mesej yang hendak disampaikan. Muslimah itu perlu mempunyai pendirian yang tegas dan bertutur dengan penuh hikmah.

Ayat 159 Surah Aali-'Imran:
"Maka berkat rahmat Allah, Engkau (Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya Engkau bersikap keras dan berhati kasar,tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu. Kerana itu maafkanlah mereka dan mohonkanlah ampunan untuk mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sungguh, Allah mencintai orang yang bertawakal."

Sahabat, kalau rasa lemah semangat untuk terus berjuang, renung-renungkanlah semula kisah nabi kita , Rasulullah s.a.w. Terlalu banyak rintangan dan dugaan yang baginda hadapi sehinggakan baginda pernah dilemparkan batu oleh kaum Quraisy sehingga terluka. Apalah sangat usaha kita hari ni berbanding kekasih Allah ini? Kuatkanlah semangat kalian!. Saya berharap agar kalian teruskan warisan Rasulullah s.a.w ini iaitu berdakwah ke jalan Allah. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bersabar! InsyaAllah.
Sumber imej : Google Image