Sunday, 17 July 2011

Ke Marilah, Kerana Rabbmu Menunggumu!

Ke Marilah, Kerana Rabbmu Menunggumu!

 

Friday, 15 July 2011

Dia Datang Menjemputku


Dia Datang Menjemputku


alt
"Bila Izrail datang memanggil
Jasad terbujur di pembaringan
Seluruh tubuh akan menggigil
Terbujur badan dan kedinginan"
Seorang anak Adam sedang 'bahagia' menikmati hidup, bersuka ria dan bergelak ketawa bersama rakan-rakan dan keluarga, ada yang leka bekerja mencari rezeki untuk membahagiakan kehidupan yang sedia ada, ada yang sedang lena diulit mimpi-mimpi indah, tidak kurang ada yang sedang berpesta menikmati keseronokan dunia, ada pula yang sedang lalai melakukan kemaksiatan dan terlalu ramai yang sedang hanyut dalam gelombang dosa yang berterusan..tetapi pernahkah mereka terfikir, pedihnya saat yang dinamakan Sakaratul Maut?!
"Demi Allah, seandainya jenazah yang sedang kalian tangisi boleh berbicara sebentar, lalu menceritakan (pengalaman sakaratul mautnya) pada kalian, nescaya kalian akan melupakan jenazah tersebut, dan mulai menangisi diri kalian sendiri" - Imam Ghazali 
Imam Ghazali juga meriwayatkan sebuah hadith daripada Rasulullah S.A.W, baginda bersabda:
"Ketika sekelompok Bani Israel berada di sebuah tanah pekuburan, mereka berdoa pada Allah S.W.T agar Allah dapat menghidupkan semula satu mayat daripada tanah pekuburan itu agar mereka dapat mengetahui gambaran sakaratul maut yang sebenarnya. Dengan izin Allah S.W.T, tiba-tiba mereka dihadapkan dengan seorang lelaki yang muncul dari salah satu liang lahad tersebut. "Wahai manusia !", kata lelaki tersebut. "Apa yang kalian kehendaki dariku? Limapuluh tahun yang lalu aku mengalami kematian, namun hingga kini rasa kesakitan bekas sakaratul maut itu belum juga hilang dariku."
Kata Saidina Ali Ibn Abi Talib R.A, " Manusia ini sebenarnya tidur dan akan bangun bila ia mati. Bila sampai saat kematian baru dia sedar akan perlunya bekalan amalan untuk dibawa ke akhirat untuk dihitung oleh Allah kemana arah tujuan. Dimana tempat bermulanya 'kehidupan' yang sebenar."
"Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu, hingga apabila datang kematian kepada seorang dari mereka, dia berkata: "Ya Rabb kembalikanlah aku (ke dunia). Agar aku berbuat amal yang soleh terhadap yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkan sahaja. Dan di hadapan mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitan."
 (al-Mu'minun : 99-100)
Suatu hari, Nabi Ibrahim A.S meminta kepada Allah agar diperlihatkan wajah malaikat maut ketika ingin menarik nyawa orang-orang yang musyrik dan tidak beriman kepada Allah S.W.T. Maka Allah memperkenankan permintaan Nabi Ibrahim A.S. Sejurus selepas itu muncullah malaikat maut berkulit hitam legam, berbau teramat busuk dan meloyakan, memiliki dua mata satu didepan dan satu dibelakang. Di mulutkan kelihatan api yang panas membara. Nabi Ibrahim A.S yang melihatnya pengsan tidak sedarkan diri. Sedangkan saat sakaratul maut manusia yg kufur itu diseksa sedemikian rupa, sesungguhnya seksa Allah S.W.T diakhirat kelak lebih berlipat kali gandanya!
Apabila hampir mati seseorang hamba Allah maka terbahagilah dia kepada lima bahagian:
1.      Hartanya untuk waris-waris tinggalannya.
2.      Nyawanya untuk ditarik oleh Malaikal Maut.
3.      Dagingnya di perut bumi untuk santapan ulat-ulat.
4.      Tulangnya untuk direputkan oleh tanah.
5.      Amalan dan kebajikannya sepanjang hidup dimuka bumi serta doa anak yang soleh yang tidak jemu-jemu mendoakannya. 
Kadang kala ada ketikanya, orang yang telah mati seakan-akan datang kepada kita untuk meraih 'bantuan' daripada kita seperti contoh, mereka menghadirkan diri dalam mimpi kita supaya kita melihat keadaan mereka di alam sana dan terima pengajaran daripada apa yang diperlihatkan kepada kita. Maka ingatlah kepada mereka yang telah kembali menghadap Ilahi serta sedekahkanlah Al-Fatihah dan bacalah Yasin untuk mereka mudah-mudahan beban yang ditanggung mereka dikurangkan. Insya-Allah.
Mati itu perkara yang paling pasti di pengakhir kehidupan. Silap bagi mereka yang berpendapat bahawa mati itu umpama tidur yang panjang dan segala nasib malang akan berakhir sesudah kematian. Mati itu sebenarnya permulaan bagi kehidupan-kehidupan lain di alam kubur, di alam padang masyar, di alam yang kekal abadi, syurga dan neraka. Wallahualam.
Andai kutahu
Malaikat-Mu kan menjemputku
Izinkan aku
Mengucap kata taubat pada-Mu
Aku takut
Akan semua dosa dosaku
Aku takut
Dosa yang terus membayangiku
Editor: Al-Fatihah buat rakan yang baru sahaja meninggal dunia pada tiga hari yang lepas. Umurnya baru sahaja mencecah angka 21 tahun. Saya mengenalinya sejak dialam sekolah rendah. Benar, mati itu tidak mengira usia. Sama-samalah kita berdoa agar beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Amin..
Dan buat kita yang masih hidup, perbaiki lah amalan kita, berhiburlah dengan batasan syariat(berpada-pada), berbuat baiklah dengan orang-orang disekeliling kita. Jika masih ada yang bermusuhan, minta lah maaf dengan segera. Sebelum ajal kita tiba..kerana saat itu, semuanya sudah terlambat..
Sumber imej : Google Image

Biodata Kolumnis

Wan Nor Anida Wan Abdullah merupakan seorang setiausaha di universiti UniZSA.

Thursday, 14 July 2011

Kisah lima perkara aneh

Kisah lima perkara aneh

                        Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara. Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."

                        Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."
 
                      Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.

                        Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.

                        Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku." Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."

                        Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya. Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

                        Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah s.w.t. bahawa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.

Kedua semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua.                                     

Ketiga jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.                                             

Keempat jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.                                                                                                                                                                      Kelima bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."

                        Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."

                        Maka berkata Allah s.w.t., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.

Sumber : Kitab Tanbihul Ghafilin

Kerana Allah Mahu Kamu Buktikan Janji Kamu

Kerana Allah Mahu Kamu Buktikan Janji Kamu



Tahukah kamu akan hadis ini?

Barangkali kamu tahu dan sudah pun hafal kisahnya.

Namun apakah ertinya pada kehidupan kita? Sedangkan semua yg kita pelajari dari Quran dan hadis harus diterjemahkan pada seluruh kehidupan kita.

Teliti dan bacalah baik- baik tanpa kita jemu menelitinya:

Rasulullah SAW menceritakan suatu kisah kepada para sahabatnya. Kisah penuh hikmah ini, dicatat oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sahih mereka (Bukhari no. 3464 dan Muslim no. 2964). Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW pernah bercerita:

"Dahulu ada tiga orang Bani Israil yang masing-masing menderita suatu penyakit. Orang pertama diserang penyakit kudis di seluruh tubuhnya, orang kedua tidak memiliki sehelai rambut pun di kepalanya (botak) dan orang ketiga menderita cacat pada matanya sehingga tidak boleh melihat (buta)."

Allah ingin menguji mereka dengan mengutus seorang malaikat-Nya. Malaikat pun mendatangi orang pertama seraya bertanya: "Apakah yang paling anda inginkan?" Jawabnya: "Warna dan kulit yang indah serta hilangnya seluruh cacat di tubuhku yang membuat manusia menjauhiku." Malaikat lalu mengusapnya sehingga kecacatan di kulitnya hilang dan berganti warna kulit yang indah. Malaikat lalu bertanya lagi: "Binatang (ternak) apa yang paling anda inginkan?" Jawabnya:"Unta..." Lantas diapun diberi unta yang sedang bunting dan malaikat berdoa: "Semoga Allah memberkatimu dengan binatang itu."

Seterusnya malaikat mendatangi orang yang botak dan bertanya: "Apakah yang paling anda inginkan?" Jawabnya: "Rambut yang indah serta hilangnya seluruh kecacatan yang membuat manusia lari dariku." Malaikat lalu mengusapnya sehingga kecacatan di kepalanya hilang dan diberi rambut yang indah. Malaikat lalu bertanya lagi: "Binatang apa yang paling anda sukai?" Jawabnya: "Sapi." Lalu diapun diberi seekor sapi bunting. Kemudian malaikat berdoa: "Semoga Allah memberkatimu dengan binatang tersebut."

Kemudian malaikat mendatangi orang yang ketiga (si buta) dengan pertanyaan yang sama: "Apakah sesuatu yang paling anda inginkan?" Jawabnya: "Semoga Allah menyembuhkan mataku hingga aku dapat melihat." Malaikat lalu mengusapnya sehingga dia dapat melihat. Malaikat lalu bertanya lagi: "Binatang apa yang paling anda inginkan?" Jawabnya: "Kambing."Lantas diapun diberi kambing bunting dan malaikat berdoa: "Semoga Allah memberkatimu dengan binatang itu."

Waktu terus berputar, hari silih berganti, bulan berganti terus berjalan dan tahun-tahun terus berlalu. Ternakan mereka semakin berkembang biak dan bertambah banyak, sehingga masing-masing mempunyai sebuah lembah yang dipergunakan untuk menggembala ternakan masing-masing. Lembah unta, lembah sapi dan lembah kambing.

Kini tiba saatnya bagi Allah untuk menguji mereka. Malaikat kembali mendatangi orang pertama yang kini adalah orang kaya dan tidak lagi berkudis. Malaikat tersebut datang dengan wujud dan keadaan orang tersebut sebelum jadi kaya, iaitu seorang yang miskin lagi berkudis. Kemudian mengatakan: "Saya seorang miskin yang kehabisan bekal dalam perjalanan. Hari ini tiada yang dapat menolong diri saya kecuali Allah, kemudian tuan. Saya memohon kepada tuan yang telah dikurniai kulit yang indah supaya berkenan kiranya memberi harta demi meneruskan perjalanan saya."

Si kudis menjawab: "Tidak, keperluanku yang lain masih banyak." Malaikat berkata: "Dulu seperti saya pernah mengenal tuan. Bukankah dahulunya tuan adalah seorang yang berkudis lalu Allah sembuhkan dan dahulu tuan adalah seorang yang fakir lalu Allah cukupkan?" Dia menjawab: "Harta ini adalah harta warisan nenek moyang sejak dulu." Kata Malaikat: "Jikalau tuan berdusta, maka Allah akan merubah tuan seperti keadaan dahulu."

Berikutnya malaikat mendatangi orang kedua. Malaikat itu menyerupai wujudnya ketika masih miskin dan botak dahulu, seraya mengajukan permintaan yang serupa dengan orang kedua tadi. Jawapan yang diperoleh pun tidak berbeza dengan jawapan orang pertama. Akhirnya Malaikat berkata: "Jikalau tuan berdusta, maka Allah akan merubah tuan seperti keadaan dahulu."

Malaikat kemudian mendatangi orang ketiga dengan rupa seorang buta yang miskin seraya mengatakan: "Saya orang miskin yang kehabisan bekal dalam perjalanan. Hari ini tiada yang dapat menolong diri saya kecuali Allah, kemudian tuan. Saya memohon kepada tuan yang telah disembuhkan oleh Allah untuk berkenan kiranya memberi saya sedikit harta demi meneruskan perjalanan saya ini."

Jawab si buta: "Dahulu aku adalah seorang yang buta, kemudian Allah menyembuhkanku. Maka ambillah apa saja dan berapapun yang anda mahu dan tinggalkan yang anda tidak suka. Demi Allah, saya tidak merasa keberatan bila anda mengambil sesuatu untuk Allah."

Malaikat menjawab: "Tahanlah hartamu, ambillah kembali. Sesungguhnya kalian sedang diuji. Allah telah meredhaimu dan murka kepada saudaramu."

Si buta dengan ikhlas hati memberikan hartanya kepada malaikat tersebut yang dalam pandangannya adalah seorang yang memerlukan bantuan. Maka Allah memberkatinya dan dia tetap memiliki hartanya.
Berbeza halnya dengan kedua rakannya dahulu yang ternyata berubah menjadi bakhil. Setelah berubah menjadi orang kaya dan berkedudukan, keduanya lupa kewajipan mereka, iaitu bersyukur kepada Allah dan memberikan hak orang lain yang juga memerlukan bantuan. Maka akhirnya keadaan mereka dikembalikan sebagaimana dahulu."

Ikhwah akhawat sekalian,

Begitulah juga kehidupan kita.

Dulu kita susah.

Susah sangat.

Struggle study.

Miskin duit

Susah nak pergi program,

Bersendirian dan keseorangan di jalan ini,

Namun , akhirnya, dengan nikmat dan rahmat Allah, Allah berikan kita nikmat-nikmat-Nya yang sangat
melimpah-ruah:

Kita dapat grad.

Kita dapat kerja.

Kita dapat duit yang banyak.

Kini kita sudah berkereta dan berumah besar.

Seterusnya Allah kurniakan kita zauj dan juga zaujah.

Kita tidak lagi miskin, kita tak lagi struggle, kita tak lagi susah nak pergi program dan kita tak lagi bersendirian di atas jalan dakwah ini.

Maka di saat ini.

Adakah kita mahu menjadi yang sopak, yang botak. Ataupun yang buta?

Di saat semuanya telah mudah sekarang, adakah boleh kita kurangkan komitmen kita di atas jalan dakwah ini?

Sudah tentu di saat inilah, dakwah lebih-lebih lagi menuntut segalanya dari kita.

Sebagai bukti, syukurnya kita pada Allah.

Sebagai bukti janji kita kepada Allah.

Jika tidak, nantikanlah balasan dari Dia, seperti mana yang berlaku pada si sopak dan juga botak.

- Artikel iluvislam.com

Biodata Kolumnis

Nur Aisyah Zainordin merupakan seorang doktor di Royal Alexandra Hospital, Paisley, Scotland. Penulis yang berasal dari Gombak ini merupakan graduan perubatan dari University of Dundee dan kini merupakan Timbalan Presiden Majlis Syura Muslimun cawangan Scotland. Beliau aktif dalam aktiviti dakwah dan kemasyarakatan di United Kingdom dan Ireland.