Tuesday, 2 August 2011

Aku Juga Bertasbih Pada Allah

Aku Juga Bertasbih Pada Allah

Sel, 02 Ogo 2011 16:22
Zahazan Mohamed
Editor: Fira Fahmi





Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda bahawa seekor semut telah menggigit seorang Nabi. Kemudian Nabi tersebut memerintahkan supaya dibakar sarang semut tersebut. Lalu dibakar dan terbakarlah sarang sebut bersama sekalian semut di dalamnya. Maka Allah mewahyukan kepadanya, "Adakah hanya kerana seekor semut menggigitmu maka engkau memusnahkan keseluruhan umat yang sentiasa bertasbih kepada Tuhannya?" -Hadis Riwayat al-Bukhari, Abu Daud, An-Nasaai dan Ibn Hibban.

Melalui hadis yang ringkas ini, jelaslah bahawa membunuh semut dengan sengaja adalah dilarang sebagaimana dilarang membunuh haiwan lain melainkan jika binatang atau serangga tersebut membahayakan contohnya lipas, tikus, ular dan sebagainya.

Di dalam hadis ini juga Rasulullah sebenarnya mahu menegaskan bahawa semua haiwan termasuk haiwan sekecil semut turut bertasbih kepada Allah S.W.T. Maka siapalah kita untuk membunuh mereka sesuka hati tanpa sebab?

Sebelum disyariaatkan oleh Nabi Muhammad S.A.W hukum membakar sarang haiwan adalah dibenarkan namun setelah disyariaatkan oleh Rasulullah S.A.W, perbuatan tersebut termasuk di dalam antara perbuatan yang dilarang dan tidak disukai oleh Allah.

Sumber tazkirah ringkas: 101 kisah dan pengajaran daripada al-Quran dan Hadis oleh Ustaz Zahazan Mohamed

- Artikel iluvislam.com

Monday, 1 August 2011


Menghidupkan Ramadhan

Artikel I luv islam




"Sesiapa bangun (untuk beribadah) pada malam-malam Ramadhan kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan pahala dariNya, akan diampunkan dosanya yang lalu". (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
Menurut Imam an-Nawawi, yang dimaksudkan dengan Qiyam Ramadhan dalam hadis di atas ialah solat Terawikh. Namun ada ulama' yang memberi makna yang umum iaitu segala solat sunat yang dilakukan untuk menghidupkan malam iaitulah qiyamullail. Jadi mengikut pandangan kedua ini termasuk di dalam Qiyam-Ramadhan itu; solat Terawikh, solat Tahajjud, solat Taubah dan sebagainya. (Rujuk; Soheh Muslim Bisyarhi an-Nawawi dan Raudhatul-Muttaqien syarh Riyadhus-Salihin)
Terdapat hadis di mana Saidatina 'Aisyah menceritakan;

كَاْنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّم إِذَا دَخَلَ الْعَشْرَ الأَوَاْخِرَ مِنْ رَمَضَاْنَ أَحْيَا اللَّيْلَ، وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ، وَجَدَّ وَشَدَّ الْمِئْزَرَ
Rasulullah s.a.w. apabila masuk sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan, baginda bangun menghidupkan malamnya (dengan ibadah lebih dari biasa), membangunkan ahli-ahli keluarga baginda (untuk sama mengerjakan ibadah seperti baginda), baginda bersungguh-bersungguh (mengerjakan ibadah) dan baginda mengikat kainnya (*kiasan kepada kesungguhan untuk beribadah atau kiasan kepada meninggalkan isteri untuk menumpukan kepada ibadah)
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)