Saturday, 13 August 2011

Wahai Daie... Jangan Lemah

Wahai Daie... Jangan Lemah


Sab, 13 Ogo 2011 18:55
Nur Nashrah
Editor: Nor Adrenaline


Allah... Ujian-Mu silih berganti. Semakin aku menapak di jalan ini, semakin aku diuji. Benarlah jalan ini bukan mudah dilalui.
Memang adakalanya aku seakan penat tetapi aku tahu, tidak sepatutnya aku bersikap lemah apalagi menyerah. Maka di saat ini, aku nukilkan sedikit hikmah buat pemangkin diri juga sebagai tatapan mereka yang ingin sama-sama menguatkan diri..

Wahai daie... Janganlah kamu berasa lemah. Tatkala dilambung ombak cabaran. Sedarlah, itu adalah tarbiyah Allah buatmu. Memang, sesekali diuji itu perit, pedih dan menyakitkan. Membuat air matamu gugur satu persatu. Tetapi itu bukan sebab untuk menyerah.

Wahai daie... Jangan kamu berasa lemah. Tatkala mata-mata manusia melihatmu pelik, jelik malah merendah-rendahkanmu. Bersabarlah... Ingat kembali sabda rasul S.A.W mafhumnya

Islam itu datangnya dalam keadaan dagang dan akan kembali dagang. Beruntunglah mereka yang menggenggamnya ketika ia kembali dagang. [H.R Muslim]


Wahai daie... Jangan kamu berasa lemah. Tatkala hati-hati yang ingin kau ajak ke arah kebaikan menolak ajakanmu.
Ingatlah... Hidayah itu milik Allah. Dia akan memberi kepada siapa yang dikehendaki yakni hamba-hamba yang terpilih, yang berusaha mencari cahaya-Nya. Jangan lekas kecewa dan putus asa. Tugasmu hanya menyeru dan tiap usahamu ada nilainya di sisi Pencipta (sekiranya hati ikhlas kerana-Nya).

Wahai daie... Jangan kamu berasa lemah. Tatkala kau mewakafkan diri untuk agama ini dan memilih untuk hidup di jalan Allah, maka kau harus bersedia untuk mengharungi liku-likunya. Kau harus tahu jalannya itu licin, curam dan berduri.
Terluka itu biasa dan kau harus terima.

Wahai daie... Jangan kamu berasa lemah. Meskipun dalam hati terasa berat saat melalui jalan ini. Sukar dan melelahkan. Banyak yang perlu kau korbankan (terutamanya keinginan hawa nafsu). Namun, harus kau tahu dan yakin bahawa ada bahagia di sana. Bahagia yang tidak bisa dirasai oleh mereka yang ingin hidup biasa-biasa saja. Ada keindahan yang tidak mungkin ditemukan jika memilih untuk hidup untuk dunia semata-mata. Kebahagian dan keindahan itu bisa diraih bila hatimu kau dekatkan dengan Pencipta. Keperitan, kesakitan dan kelelahan seolah-olah 'terbius' oleh kecintaan kepada-Nya.

Wahai daie... Andai kau berasa lemah itu bukan salahmu kerana kau hanyalah manusia biasa. Kerana itu Allah S.W.T telah memotivasikan kita, Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman. [Ali-Imran 3:139]

Ingatlah, di penghujung hayat kita akan kembali kepada-Nya dan jalan ini satu-satunya jalan selamat untuk bertemu dengan-Nya..

Sesekali terjatuh itu biasa. Tetapi jangan jatuh hingga tak bangun-bangun, itu parah. Hakikatnya nasihat ini untukku. Aku tidak ingin selamanya berasa lemah. Aku harus bangkit dan bersemangat sentiasa. Sungguh, motivasi yang paling penting bermula dari dalam diri.

Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya. [Al-Baqarah 2:207]

Kuatlah sahabatku...

- Artikel iluvislam.com

Friday, 12 August 2011

SUAMI YANG DAYUS


SUAMI YANG DAYUS


Semakin memuncaknya kemajuan dunia, semakin meningkatlah jumlah manusia yang terlibat dalam kancah kemaksiatan. Rata-rata manusia hari ini berlumba-lumba mengejar  kemewahan materialistik, pangkat dan nama. Bagi mereka itulah tiket kebahagiaan dan kepuasan hidup. Tidak peliklah bila si isteri sama-sama berganding bahu dengan suami di luar rumah. Secara automitik melibatkan diri dengan dunia sosial yang terpaksa  lincah ke sana ke mari.

Ada setengah suami yang bangga bila isterinya aktif berkecimpung di dalam berbagai pertubuhan luar, alasannya untuk menambahkan amal jariah. Apa yang sedih, perlaksanaannya berlawanan dengan syariat dan bercampur aduk pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan muhram.

Kadang-kadang, untuk menenangkan fikiran dan menyihatkan badan, mereka sanggup meluangkan masa keluar bermain tennis atau berjogging suami isteri. Bertukar-tukar pasangan merupakan suatu perkara yang lumrah bagi mereka. Isteri si A dengan suami si B, suami si B dengan isteri si A dalam satu gelanggang. Hinanya mereka ini kerana langsung tidak ada perasaan cemburu, lebih menyedihkan lagi bila aurat terdedah sesama sendiri. Ada juga suami yang bangga bila isterinya dapat berkenalan atau berdamping rapat dengan orang-orang ternama.

Sayang seribu kali sayang. Dayuslah seorang suami yang bersifat begini. Kemanakah dicampakkan sifat "gentleman" yang Allah s.w.t. kurniakan itu? Isteri bukannya barang dagangan yang boleh diperagakan ke sana sini. Sekiranya pasangan suami isteri itu hadir di dalam sesuatu majlis kemudian dibiarkan isterinya bergaul bebas dengan lelaki lain, tunggulah! Ancaman dan balasan dari Allah s.w.t amat pedih sekali. Adalah mereka itu di dalam laknat Allah Taala, Rasul dan malaikat-Nya sehingga dia kembali ke rumah. Sebuah peringatan dari Rasulullah s.a.wbemaksud:

"Barangsiapa memenuhi akan matanya dengan memandang yang haram nescaya memenuhi Allah Taala akan matanya itu daripada bara api neraka."

Sebenarnya seorang isteri itu tidak ada masa hendak berhibur hati mencari ketenangan dengan mengadakan persatuan itu dan ini yang belum tentu terjamin berlandaskan Al-Quran dan sunnah.
Lainlah, isteri pergi ke majlis kuliah-kuliah fardhu ain, majlis tahlil atau hal-hal bersangkutan dengan rumahtangga di mana boleh menambahkan keimanan dan kecintaan kita terhadap Allah s.w.t, Rasul dan keluarga. Berazam mendidik anak-anak supaya menjadi soleh dan solehah. 
Rasulullah s.a.w. berbangga dengan umat wanitanya yang taat kepada suami mereka. Allah s.w.tsuka kepada tiga perkara iaitu:

1. Mata yang menangis kerana Allah s.w.t.. 
2. Orang yang berjaga malam kerana berjihad kepada Allah s.w.t.
3. Isteri-isteri yang solehah.

Rasulullah s.a.w. bersabda di dalam hadis yang bermaksud:

"Telah meminta ampun bagi segala perempuan yang mengikut perintah suaminya oleh segala burung yang terbang di udara dan ikan di air dan segala malaikat yang di langit dan matahari dan bulan selama perempuan itu di dalam keredhaan suami."

Dapatlah kita fahami bahawa sekelian makhluk di dunia ini sentiasa bertasbih dan berdoa supaya isteri-isteri yang mentaati suami itu menjadi wanita yang solehah bakal penghuni syurga-syurga. Imam Ghazali r.a ada berkata:

"Apabila keluar segala perempuan maka sayugia dia memejamkan matanya dari melihat akan sekelian lelaki ajnabi."

Maksud memejamkan mata di sini ialah menundukkan pandangan dari melihat lelaki yang bukan muhram. Bukannya meliarkan mata memandang ke sana sini biarpun telah memakai purdah. Tanpa disedari kita telah mengenali mereka, serba sedikit apa yang tidak kena  pada mereka juga diketahui
contohnya, "Mulut si fulan ini lebarlah, badan si fulan ni gemuklah, hidungnya pesetlah dan macam-macam lagi," tanpa disedari kita telah mengumpat mereka.

Bagi suami hendaklah pastikan supaya anak isterinya terhindar dari perangai di atas. Zina mata boleh membawa kepada zina hati. Berdosa besarlah jika suami membiarkan ahli keluarganya bersikap demikian. Allah s.w.t akan mengharamkan mereka dari mencium bau syurga. 

Telah diceritakan oleh perawi hadis, Imam Ahmad dan Nasai dan hakim daripada Ibnu Umar, "Ada tiga orang yang telah Allah s.w.t haramkan dari memasuki syurga iaitu:

1. Orang yang mengekali minum arak. 

Ada diceritakan, bagi umat Islam jika ia meminum walau seteguk sekalipun arak tersebut, maka akan pecah berkecailah kalimah tauhid yang tertulis di dahinya. Zahirnya memanglah kita tidak nampak, tapi itulah keistimewaan yang Allah s.w.t. berikan kepada umat Islam. 
Sebuah kalimah tauhid yang meng-Esakan-Nya. Sebuah tempat yang mulia, tempat kita sujud syukur ke hadrat Ilahi demi membuktikan bahawa kita ini insan yang serba lemah dan dhaif.

2. Orang yang menderhakai ibu bapa 

Ada diceritakan juga, pada malam Lailatul Qadar terdapat empat perkara yang boleh menyebabkan terhijabnya doa seseorang di malam tersebut bila ada padanya:
A- Orang yang derhaka dengan ibu bapanya. 
B- Orang yang meminum arak 
C- Dua orang yang tidak bertegur sapa antara satu sama lain selama 3 hari. 
D- Orang yang memutuskan silaturahim

Cuba kita kaji dan teliti ke empat-empat perkara di atas, jika ada salah satu yang berkait dengan diri kita maka berusahalah untuk terus memperbaiki diri. Mungkin tiga perkara itu dapat kita atasi tapi bagaimana pula pertautan hati dengan ibu bapa kita selama ini? Tidak ada gunanya kita bertungkus lumus mengerjakan amal ibadah yang lain yang dirasakan sewajarnya mendapat balasan dari Allah s.w.t, sedangkan hati ibu bapa kita dilukai. Kita biarkan hidup mereka melata tidak berhaluan atau kita menjadi tuan kepada mereka.

Terhijabnya segala doa dan amal kebajikan kita selagi kita menderhakai mereka. Tidak hairanlah kita menjadi seorang yang keras hati, angkuh dan ego dengan apa yang kita perolehi. Jangan bangga dapat menawan hati-hati manusia lain dengan apa yang kita lakukan atau apa yang kita perkatakan tapi kita perbudak-budakkan emak ayah kita. Selagi perintahnya tidak bercanggah dengan syariat, kita kenalah taat dan berlemah-lembut serta berhikmah dalam mengatur sesuatu tindakan jika ada yang tidak kena pada hati mereka. Yakinlah bila kita berakhlak dengan mereka segala apa yang kita laksanakan semuanya mendapat rahmat dan bantuan Allah s.w.t.. Anak yang soleh itu ialah yang sentiasa mendoakan kesejahteraan ayah bondanya. 

3. Suami yang dayus.

Membiarkan ahli keluarganya melakukan zina. Setengah ulama menyifatkan makna dayus itu, "Suami yang membiarkan isterinya dengan lelaki lain."

Setengahnya pula menyifatkan begini:
"Orang yang membeli jariah (hamba) yang pandai menyanyi untuk menghiburkan orang lain."

Maka tersuratlah di depan pintu syurga yang bermaksud:
"Engkau hai syurga haramlah atas segala lelaki yang dayus."

Tersebut di dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang membawa maksud:
"Barangsiapa berbuat zina dengan perempuan yang ada suaminya nescaya adalah dosanya di atas lelaki dan perempuan di dalam kubur itu sangat azab."

Maka apabila datangnya hari kiamat nescaya menghukum Allah s.w.t akan si suami terlebih dahulu dalam segala hal kebajikan berbanding lelaki yang kemudian itu. Bermula hukum yang demikian itu apabila zina isterinya itu dengan tidak tahunya. Maka jika mengetahuinya dan dia berdiam diri nescaya Allah s.w.t mengharamkannya dengan tersurat di atas pintu syurga, yang bermaksud:

"Engkau haram yakni masuk atas segala orang yang mengatahui akan kejahatan zina pada ahlinya dan dia diam serta tiada rasa cemburu."

Akhir kata, wahai para suami, jagailah ahli keluargamu supaya sejahtera selalu di dalam iman dan didikan Islam yang sejati sebab orang yang pertama akan dipersoalkan di akhirat kelak ialah suami yang menjadi teraju di dalam rumahtangga. Wahai isteri-isteri yang budiman, bantulah perjuangan suamimu di dalam menegakkan amal makruf nahi mungkar.

Sumber : Tanbihul Ghafilin

Wednesday, 10 August 2011

Dunia atau Akhirat? Ataupun Kedua-duanya?

Dunia atau Akhirat? Ataupun Kedua-duanya?



Segala syukur dan puji-pujian kepada Allah Tuhan semesta alam. Tuhan yang berhak disembah, dipuji dan dicintai. Kami berlindung kepada Allah dari segala macam kejahatan dan tipu daya Syaitan. Dari segala dosa dan noda yang telah kami lakukan. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhamad adalah pesuruh Allah.

Selawat dan salam ke atas baginda S.A.W Sesungguhnya barang siapa yang diberikan oleh Allah petunjuk, maka tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barang siapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada siapa yang dapat memberikannya petunjuk.

Ilmu adalah sumber pengetahuan. Semua manusia di muka bumi ini perlukan ilmu tidak kira siapa pun dia, pasti ada suatu ilmu dalam dirinya. Lihat sahaja seorang anak kecil yang terbaring kemudiannya belajar merangkak sehinggalah mampu berjalan.

Setiap hari anak kecil itu akan memikirkan bagaimana dia ingin merangkak dan bagaimana ingin berjalan. Tanpa ilmu bagaimana mungkin anak kecil mampu berjalan? Begitu juga dengan manusia lainnya. Semuanya memerlukan ilmu untuk kelangsungan hidup.

Islam juga mementingkan ilmu buat umat-Nya. Masih ingatkah kita pada firman Allah yang mula-mula diturunkan kepada Rasulullah S.A.W menerusi Surah al-Alaq ayat pertama?.

Allah berfirman : "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)" [Al-Alaq:1]

Perumpamaan ilmu itu adalah umpama cahaya yang menyinari hati dan akal fikiran. Tanpa hadirnya ilmu maka hati dan fikiran berada dalam kegelapan dan kesesatan. Sebab itulah Islam menekankan aspek keilmuan kepada umat-Nya kerana ilmu itu dapat diaplikasi dan digunakan untuk kemaslahatan agama, dunia dan akhirat. Perlu diingat ilmu yang dituntut itu adalah ilmu yang baik, berguna dan bermanfaat.

Abu Darda' berkata: "Aku pernah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: "Sesiapa yang menempuh perjalanan untuk menuntut ilmu, maka Allah memudahkan perjalanannya menuju Syurga. Malaikat akan menaungi penuntut ilmu dengan sayapnya kerana redha terhadap perkara yang dia lakukan. Semua penghuni langit dan bumi akan memohon ampun bagi mereka yang memiliki ilmu pengetahuan, demikian juga ikan di dalam air. Keutamaan seseorang yang berilmu pengetahuan atas seorang ahli ibadah bagaikan bulan dengan sekumpulan bintang. Ketahuilah bahawa ulama' adalah pewaris para Nabi. Dan para Nabi tidaklah mewariskan wang dinar mahupun dirham (harta), melainkan ilmu. Maka sesiapa yang mengambilnya, maka dia telah mendapatkan keberuntungan yang sangat besar." (Hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Majah, Baihaqi, dan Ibnu Hibban)

Berdasarkan hadis di atas, ternyata ilmu itu adalah harta yang sebenar dan berharga melebihi kekayaan dan kemewahan yang sementara. Ilmu adalah warisan para nabi. Para nabi membawa ilmu yang diilhamkan dari pemilik segala ilmu iaitu Allah S.W.T Biarpun para nabi membawa ilmu agama yang suci lagi mulia, tidaklah bermakna ilmu selain dari ilmu agama itu adalah sia-sia. Semua ilmu yang baik itu ada manfaatnya, tiada yang sia-sia. Cuma yang menjadikan ilmu itu sia-sia dan tiada harga apabila ilmu duniawi itu ditekankan lebih daripada ilmu Akhirat. Kadang-kala kita terlalu membanggakan ilmu dunia sehingga mengabaikan ilmu yang akan menentukan nasib kita di Akhirat nanti.

Muhasabahlah diri sejenak, sedalam mana ilmu akhirat kita berbanding ilmu duniawi yang kita belajar sejak dari sekolah hingga ke universiti. Adakah kedua-duanya seimbang? Atau adakah ilmu duniawi menguasai hidup kita melebihi ilmu ukhrawi? Tepuk dada, tanyalah Iman kita. Punyai ilmu agama tidak bermakna kita tidak boleh menjadi seorang doktor, jurutera, usahawan dan sebagainya. Betulkan persepsi kita dan hayatilah ilmu Islam yang indah dan luas aspeknya. Maka dengan itu, ummah mampu melahirkan doktor, jurutera mahupun usahawan yang soleh dan solehah. Itulah yang terbaik.

Mari kita renung mesej yang besar maknanya dalam sebuah kisah ketika Rasulullah S.A.W telah wafat, disebutkan bahawa Abu Dzar al-Ghiffari r.a, pada suatu hari dia pergi ke pasar di Kota Madinah. Ketika itu dia merenung dan melihat masyarakat di sekitar kota itu penuh dengan kekacauan dan kesibukan. Mereka menyibukkan diri dengan pelbagai urusan duniawi dan menjadikan akal mereka sebagai Tuhan. Melihat peristiwa itu maka timbullah rasa takut dan bergetarlah hati Abu Dzar melihat kelalaian mereka. Lantas Abu Dzar pun berteriak "Wahai sekalian manusia! Apa yang sedang kamu lakukan dengan harta dan perdagangan kamu sehingga tidak memerhatikan peninggalan dan warisan Nabi Muhammad S.A.W yang sedang dibahagikan di masjid ketika ini?"

Sebaik sahaja mendengar teriakan keras Abu Dzar itu, berlarianlah mereka semua ke Masjid Nabawi dengan harapan bahawa mereka dapat memperolehi harta warisan tersebut. Sesampainya mereka semua di masjid suci itu, mereka terkejut kerana tiada satu pun harta seperti yang dikhabarkan oleh Abu Dzar sebentar tadi.
Hanya yang ada adalah mereka yang sedang sujud kepada Allah, serta para ilmuan dan murid-mudridnya.
Mereka pun kembali kepada Abu Dzar dan bertanya "Wahai Abu Dzar, kami tidak menjumpai satu harta warisan pun seperti yang engkau khabarkan melainkan hanyalah orang yang beribadah dan mempelajari ilmu!" Abu Dzar pantas menjawab, "Itulah sebenarnya warisan Nabi Muhammad S.A.W kepada kita semua."

Sama-samalah kita mengingatkan diri kita yang alpa ini. Dalam kesibukan kita mengejar ilmu dunia yang tidak terbatas, jangan sesekali kita lupa keutamaan ilmu suci yang dibawa oleh Rasulullah. Moga ilmu yang kita miliki menjadikan kita lebih dekat kepada Allah S.W.T.

Insya-Allah.

Telah ku sampaikan
Akan pesan dan ingatan
Dari ilham Pemilik Ilmu yang Abadi
Kepada sekalian pewaris ilmu
Sekalian saudaraku
Agar kita beringat
Walau siapa pun kita
Kita milik Dia Yang Hakiki.
Sumber imej : Google Image
-Artikel Iluvislam.com

Biodata Kolumnis

Mohamad Dhiyauddin Bin Abdul Kadir merupakan seorang penulis blog yang merupakan seorang mahasiswa lulusan UiTM Sri Iskandar, Perak dalam pengajian Bangunan. Beliau menulis untuk berkongsi manfaat dan ilmu. Blog beliau boleh dilayari di: http://addienblog.blogspot.com