Wednesday, 7 December 2011

Mahligai Cinta Berserikan Taqwa



by I Love Allah SWT and Prophet Muhammad SAW



Teringat akan pertemuan pertama saya dengan bakal bapa mertua. Saya menjadi makmum kepada beliau semasa solat Maghrib. Beliau membaca sebahagian surah At-Tahrim, antaranya:

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan bakarannya adalah manusia dan batu, neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (At-Tahrim:6)



Ibn 'Abbas berkata tentang ayat ini:

Taatlah kepada Allah, jauhi keingkaran dan kedurhakaan kepadaNya, dan perintahkan keluargamu agar sentiasa ingat Allah, maka Allah akan menyelamatkan kamu daripada api neraka.



Mujahid berkata:

Bertaqwalah kepada Allah, dan perintahkan keluargamu agar bertaqwa kepadaNya.

Ingatlah kepadaNya



Firman Allah s.w.t :

Dan lelaki-lelaki yang banyak menyebut (nama) Allah serta perempuan-perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.(Al-Ahzab: 35)



Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, Allah 'Azza wa Jalla berfirman:

Aku (apa yang Aku berikan) adalah sebagaimana sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Aku bersamanya apabila dia mengingati-Ku. Sekiranya dia mengingati-Ku dalam dirinya, Aku mengingatinya dalam diri-Ku. Sekiranya dia mengingati-Ku (menyebut-Ku) dalam sekumpulan manusia, Aku mengingatinya (menyebutnya) dalam kumpulan yang lebih baik daripada mereka (kumpulan manusia itu).(Riwayat Muslim)

Bersangka baiklah kepada-Nya dalam segala perkara. Apabila berdoa, yakinlah bahawa Allah Maha Mendengar, yakinlah bahawa Allah mampu dan akan memakbulkan doa, dengan cara yang dikehendakiNya, dalam bentuk yang dikehendakiNya, pada waktu yang dikehendakiNya.

Ingatlah kepada-Nya ketika senang, Dia pasti bersama kita ketika senang dan susah. Jangan hanya mencari Allah ketika ditimpa duka dan dalam keadaan terhimpit, dan melupai-Nya sewaktu senang dan gembira.

Mulianya Kita Di Sisi Tuhan Dengan Taqwa



Takrif taqwa oleh sebahagian ulama', yang dinaqalkan oleh 'Abdullah Nasih Ulwan dalam kitab 'Menuju Ketaqwaan' :

Memelihara diri daripada azab Allah dengan mengerjakan amal soleh (dan menjauhi maksiat) dan takut kepadaNya ketika terang dan tersembunyi.



Firman Allah Ta'ala:

30. Dan ditanya kepada orang-orang yang bertaqwa: "Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhan kamu?" Mereka menjawab: "Kebaikan." Orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik, dan sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi, dan sesungguhnya negeri akhirat ialah sebaik-baik tempat bagi orang-orang yang bertaqwa.

31. (untuk mereka) Syurga-syurga 'Adn, yang mereka akan memasukinya, yang mengalir padanya beberapa sungai, mereka beroleh di dalam syurga itu apa yang mereka kehendaki. Demikianlah Allah memberi ganjaran kepada orang-orang yang bertaqwa.

32. (Iaitu) Mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih suci (dari kufur syirik dan maksiat), sambil malaikat itu berkata kepada mereka: "Selamat sejahtera kepada kamu, masuklah ke dalam syurga disebabkan amal (kebaikan) yang telah kamu kerjakan".(An-Nahl: 30-32)



Sabda Rasulullah s.a.w. , sebahagian daripada hadis yang panjang:

Maka bertaqwalah kalian kepada Allah dalam hubungan dengan wanita, sesungguhnya kamu telah mengambil mereka melalui perjanjian dengan Allah (kalimah/amanah Allah). (Riwayat Muslim)

Cinta Kita

Ya Allah, jadikanlah diri kami mencintai keimanan dan hiaskanlah iman itu (jadikanlah iman itu indah) dalam hati kami. Jadikanlah diri kami membenci kekufuran, fasiq dan maksiat serta jadikanlah kami dari golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.

No comments:

Post a Comment