Thursday, 26 January 2012

Sikap Pemaaf Rasulullah s.a.w



Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang amat lapang dada dan suka memaafkan orang lain meskipun Baginda mampu membalas dendam.

Sekali peristiwa dalam suatu peperangan, seorang dari kaum musyrikin telah melihat kaum Muslimin sedang berehat-rehat, lalu ia pun mendapatkan Rasulullah dan berdiri di kepalanya dengan sebilah pedang, seraya berkata kepada Baginda: Siapakah yang dapat mempertahankan engkau dari pedangku ini?

Rasulullah s.a.w. segera menjawab: Allah. Mendengar perkataan itu, gementarlah tangan orang musyrik itu dan pedang itu pun jatuh dari tangannya.

Maka Rasulullah s.a.w. pun mengambilnya, seraya berkata pula kepadanya: Siapakah kini yang dapat mempertahankan engkau daripadaku pula? Orang Musyrik itu dengan susah payah menjawab: Ambillah nyawaku dengan cara yang baik.

Baginda pula berkata kepadanya: Katakanlah: Asy-hadu Allaa Illaha Illallahu wa Annii Rasulullaahi (Aku menyaksi bahawasanya tiada tuhan melainkan Allah dan aku ini Rasulullah).

Katanya: Tidak. Aku tidak akan mengucapkannya, akan tetapi aku berjanji tidak akan memerangimu lagi, dan tidak akan membantu orang-orang yang memerangimu itu.

Oleh Baginda dibebaskannya orang itu, lalu ia pun mendapati kaumnya seraya berkata: wahai kaumku! Aku telah datang dari seorang yang amat baik sekali di antara manusia sekalian (yang di maksudkannya ialah Nabi Muhammad s.a.w.)

Dalam peristiwa-peristiwa yang lain, banyak sekali berlaku para sahabat meminta izin membunuh orang-orang yang membuat jahat kepada Rasulullah s.a.w. Mereka mengatakan kepadanya: Izinkanlah kami menetak kepalanya wahai Rasulullah! Tetapi Rasulullah s.a.w. tidak bersetuju malah malarang.

Dalam pada itu Baginda tidak pernah menolak alasan-alasan orang yang memberikan keuzuran kepadanya, dan Baginda sering berkata:

“Mudah-mudahan Allah merahmati saudaraku Musa, sebenarnya beliau itu telah disakiti lebih dari itu, tetapi beliau bersabar saja.”

Baginda pula berkata:

“Jangan sampai ada seseorang kamu yang menyampaikan sesuatu berita tentang seorang dari para sahabatku, sesungguhnya aku ingin keluar kepadamu sedangkan aku dalam keadaan berlapang dada”

Rujukan Kitab Bimbingan Mukminin Imam Al Ghazali

Peribadi Mulia Rasulullah s.a.w



Sebagaimana yang diriwayatkan mengenai perilaku Rasulullah s.a.w., bahawa Baginda tidak pernah sama sekali memukul seorang pun dengan tangannya, melainkan dipukulnya kerana fisabilillahi Ta’ala. Baginda juga tidak pernah memeram dendam kerana sesuatu yang dilakukan ke atasnya dirinya sendiri, melainkan bila melihat kehormatan Allah dicabuli.

Jika Baginda diminta untuk memilih antara dua perkara, tanpa ragu-ragu lagi Baginda akan memilih yang paling ringan dan mudah antara keduanya, kecuali jika pada perkara itu ada dosa, ataupun akan menyebabkan terputusnya perhubungan silaturrahim, maka Baginda akan menjadi orang yang paling jauh sekali daripadanya.

Tiada pernah seseorang yang datang kepada Nabi s.a.w., baik ia merdeka atau hamba sahaya ataupun amah (hamba sahaya perempuan) mengadukan keperluannya, melainkan Baginda akan memenuhi hajat masing-masing.

Berkata Anas r.a.: Demi Zat yang mengutusnya dengan kebenaran. Ia (Nabi) tiada pernah berkata padaku dalam perkara yang tiada diinginnya, mengapa engkau lakukan itu. Dan apabila isteri-isteri memarahiku atau sesuatu yang aku lakukan, maka ia berkata kepada mereka: Biarkanlah si Anas itu, dan jangan dimarahi, sebenarnya tiap-tiap sesuatu itu berlaku menurut ketentuan dan kadar.

Termasuk akhlaknya yang mulia, ialah memulakan memberi salam kepada sesiapa saja yang ditemuinya. Jika ada orang yang mengasarinya kerana sesuatu keperluan, ia menyabarkannya sehingga orang itu memalingkan muka daripada baginda. Bila berjumpa dengan salah seorang sahabatnya, segera ia akan menghulurkan tangan untuk berjabat tangan. Baginda tidak pernah bangun atau duduk, melainkan lidahnya sentiasa menyebut nama Allah.

Seringkali bila sedang sembahyang, lalu ada tetamu yang datang kerana sesuatu keperluan, maka segeralah ia meringkaskan sembahyangnya untuk menyambut tetamu seraya bertanya kepadanya: Apa hajat anda?

Bila baginda berada di dalam sesuatu majlis antara para sahabatnya tidak pernah dikhususkan satu tempat baginya, melainkan di mana saja Baginda sampai, di situlah ia duduk. Baginda selalu menghormati sesiapa saja yang mendatanginya, sehingga terkadang-kadang Baginda sampai menghamparkan bajunya supaya orang itu duduk di atasnya. Sering pula Baginda memberikan bantal sandaran kepada orang yang datang, supaya orang itu bersandar padanya.

Bila di dalam suatu majlis yang ramai, Baginda menghadapkan wajahnya kepada semua orang, satu lepas satu, sehingga seolah-olah kesemua majlisnya, pendengarannya, percakapannya, kehalusan budi pekertinya dan perhatiannya ditumpukan kepada setiap orang yang duduk bersamanya di dalam majlis itu. Padahal majlis Rasulullah s.a.w. itu umumnya ialah majlis yang diliputi oleh kesopanan kerendahan diri dan amanah.

Allah telah berfirman di dalam al-Quran al-Karim:

“Oleh kerana rahmat Tuhan engkau bersikap lemah lembut terhadap mereka, dan kiranya engkau berbudi kasar dan berhati bengis, nescaya mereka akan lari dari sekelilingmu.” (Ali-Imran: 159)

Baginda lebih suka memanggil para sahabatnya dengan nama gelaran masing-masing untuk menghormati mereka akan memikat hati mereka. Sesiapa yang tidak punya nama gelaran, Baginda memberinya nama gelaran, lalu ia pun dipanggil dengan gelaran itu. Bukan kaum lelaki saja yang diberi nama gelaran malah kaum wanita juga, sama ada pernah melahirkan anak mahupun yang tidak. Bahkan kepada anak-anak kecil pun demikian juga, sehingga hati anak-anak itu tertarik kepada peribadinya s.a.w.

Baginda Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang amat jarang marahnya, tetapi jika marah paling segera redha pula. Baginda adalah orang yang berhati belas terhadap orang ramai, paling baik antara mereka sekalian, dan paling banyak memberikan manfaat kepada seluruh manusia. Tidak pernah sekalipun terdengar suara yang tinggi dalam semua majlis-majlisnya.

Apabila bangun dari majlisnya, Baginda sering membaca :

“Maha Suci engkau wahai Tuhanku dengan segala kepujian bagiMu, aku menyaksikan bahawasanya tiada tuhan melainkan Engkau, aku memohon keampunan kepadaMu dan aku bertaubat kepadaMu.”

Rujukan kitab Bimbingan Mukminin Imam Al-Ghazali

Saturday, 14 January 2012

Nasihat Buat Pelaku Maksiat





JIKA kita sedar betapa tingginya nikmat Allah yang anugerahkan, nescaya tidak ada satu alasan pun untuk derhaka kepada-Nya.

Sejak bangun daripada tidur sehingga tidur kembali, bahkan dalam tidur itu sendiri, semuanya itu tidak akan dapat dilakukan tanpa kuasa dan izin Allah s.w.t.

Apa yang ada pada diri kita mulai dari hujung rambut hingga ke hujung kaki adalah pemberian Allah. Segala pemberian yang ada di sekeliling kita seperti keluarga, sanak saudara hingga harta benda adalah kurniaan Allah.

Tidak ada satu detik pun yang dijalani oleh seorang hamba dalam kehidupannya di dunia ini, melainkan ia berada di bawah kurniaan dan anugerah Allah.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan apa saja nikmat yang ada padamu, maka dari Allahlah (datangnya).” (Surah An-Nahl ayat 53)

Mengetahui hakikat yang agung ini, apakah yang harus kita lakukan sebagai seorang hamba lemah yang tidak memiliki daya upaya apa pun untuk mewujudkan sesuatu melainkan kerana pertolongan daripada-Nya?

Mengapa kita derhaka kepada-Nya padahal setiap detik kita menikmati pemberian-Nya? Mengapa kita melalaikan-Nya kerana kesombongan kita dengan mengatakan bahawa segala yang kita capai adalah kerana usaha kita belaka.

Seorang lelaki datang kepada Ibrahim bin Adham lalu berkata: “Sesungguhnya aku adalah orang yang banyak melakukan perbuatan dosa, maka nasihatilah aku!

Ibrahim berkata: “Jika kamu mahu menerima lima perkara dariku dan kamu mampu melaksanakannya, maka perbuatan maksiat apa pun tidak akan mencelakakan kamu.”

Maka orang itu berkata: “Apakah itu? Ibrahim berkata: “Jika kamu ingin bermaksiat kepada Allah s.w.t maka janganlah makan daripada rezeki-Nya!”

Orang itu menjawab: “Jika begitu, dari mana aku makan kerana semua yang ada di bumi ini adalah pemberian-Nya? Ibrahim berkata: “Apakah patut kamu bermaksiat kepada Allah, sedangkan kamu memakan rezeki-Nya ?”

Orang itu menjawab: “Tidak, kemudian apa yang kedua? Ibrahim berkata: “Jika kamu ingin bermaksiat kepada Allah s.w.t maka janganlah kamu tinggal di bumi-Nya!

Orang itu berkata: “Ini lebih besar dari yang pertama, di mana aku harus tinggal? Ibrahim berkata: “Apakah patut kamu bermaksiat kepada Allah, sedangkan kamu memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya ?”

Orang itu menjawab: “Tidak, kemudian apa yang ketiga? Ibrahim berkata, “Jika kamu ingin bermaksiat kepada Allah s.w.t maka carilah tempat di mana Allah s.w.t tidak melihatmu!”

Orang itu berkata: “Ke mana aku harus pergi, sedangkan Allah mengetahui semua yang nampak dan tersembunyi?” Ibrahim berkata: “Apakah patut kamu bermaksiat kepada Allah, sedangkan kamu memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya serta Dia melihat apa yang kamu lakukan?

Orang itu menjawab: “Tidak, kemudian apa yang keempat? Ibrahim berkata: “Jika malaikat maut datang untuk mengambil rohmu, maka mohonlah kepadanya: “Berilah aku waktu agar aku dapat bertaubat dan beramal soleh!

Orang itu berkata: “Permohonanku tidak akan dikabulkan dan mereka tidak akan menunda (kematianku). Ibrahim berkata: “Jika kamu tidak dapat menghindar daripada datangnya kematian agar dapat bertaubat dan beramal soleh maka kenapa kamu berbuat maksiat kepada-Nya?

Orang itu berkata: Lalu apa yang kelima? Ibrahim berkata: “Jika di hari kiamat nanti, malaikat zabaniyah penjaga neraka datang untuk mengirimmu ke neraka, maka janganlah kamu menurutinya!

Orang itu berkata: “Mereka tidak akan melepaskanku dan tidak akan mengabulkan keinginanku.” Ibrahim berkata: “Jika demikian, bagaimana kamu berharap dapat selamat?

Orang itu pun berkata: “Cukuplah hal ini bagiku. Sungguh aku memohon ampun kepada Allah s.w.t dan bertaubat kepada-Nya.”

Percakapan di atas adalah sebuah dialog yang dapat menggugat hati kita yang semakin beku dan keras.

Nasihat ulama mulia itu membuktikan semua nikmat di dunia ini adalah anugerah kurniaan daripada Allah. Menyedari hakikat ini, adalah menjadi kewajipan untuk kita sentiasa bersyukur kepada Allah pada bila-bila masa, di mana dan dalam keadaan apa pun.

Syukur kita adalah bentuk nikmat yang Allah kurniakan kepada kita. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan bersyukurlah kepada Allah, jika kamu benar-benar menyembah-Nya.” (Surah Al-Baqarah: ayat 172)

Sesungguhnya syukur harus dilakukan dengan hati, lisan dan anggota badan. Syukur dengan hati adalah kita me ngakui dan meyakini bahawa apa pun nikmat yang kita peroleh datangnya dari Allah.

Syukur dengan lisan adalah kita selalu membasahi lisan ini dengan zikir dan ucapan syukur kepada-Nya. Syukur dengan anggota badan pula adalah kita menggunakan segala bentuk nikmat yang Dia anugerahkan kepada kita sebagai saranan untuk menjalankan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Gunakan nikmat yang diberikan-Nya untuk merealisasikan tujuan utama kita diciptakan, iaitu untuk beribadah kepada Allah s.w.t

Sesungguhnya, kebahagiaan tidaklah diukur dengan limpahan harta dunia.

Ketenangan jiwa hanya akan diraih oleh orang mukmin yang selalu bersyukur kepada-Nya. Syukurilah segala nikmat-Nya sekecil apa pun nikmat itu menurut kita, kerana Allah menjanjikan pahala bagi orang yang mahu bersyukur, dan mengancam dengan seksa bagi orang yang kufur.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim ayat 7).

Saturday, 7 January 2012

Renungan Bersama

Assalamualaikum.

Dahulu kawan kita kanak-kanak, dan sekarang sudah remaja, dan esok kita akan tua bila masih ada umur, semoga masih diberi kesempatan untuk berbuat lebih baik lagi oleh Allah. bila kita tak diberi kesempatan lagi untuk hidup didunia tentu jawapannya hanya satu iaitu meninggal dunia,

ya kita akan meninggal dunia seperti mereka yang sudah lebih dahulu meninggal dunia,mereka yang semalam bercanda dengan keluarganya, yang semalam bekerja keras mencari harta,mereka yang semalam suka jalan2, semua sudah meninggal dan dalam liang lahat saat ini.

Dan tak perlu khuwatir kerana kitapun akan menyusul InsyaAllah, lalu apa yang kita punyai untuk bekal akhirat???

sekarang kawan kita remaja, tapi apa yang kita lakukan di saat ini? taat pada Allah atau taat pada dunia?? mari cek dalam diri kita sendiri.

Imam Asy-Syafi'i mengatakan : "Sesungguhnya kehidupan pemuda itu, demi Allah hanya dengan ilmu dan takwa (memiliki ilmu dan bertakwa), kerana apabila yang dua hal itu tidak ada, tidak dianggap hadir (dalam kehidupan)."

jadilah pemuda yang beriman dan taat pada Allah dan Rasul-Nya. kerana itulah kemuliaan kita manusia, yaitu taat pada Allah dan Rasul-Nya.

Kebenaran hanya milik Allah.