Wednesday, 1 June 2011

Buat Renungan Bersama

Angkara ‘binatang’

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
MAUT...mayat mangsa di tempat kejadian, malam kelmarin.
MAUT...mayat mangsa di tempat kejadian, malam kelmarin.
KUALA LUMPUR: Kekejaman jenayah buang bayi ibarat mencapai tahap kemuncak apabila seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui mati dengan kepala berkecai dipercayai akibat dicampak dari tingkat lima sebuah pangsapuri di Sentul Utara, di sini, jam 12 tengah malam kelmarin.

Bayi berkenaan dipercayai masih hidup sebelum dicampak. Dipercayai bayi itu dibawa seseorang ke tingkat lima pangsapuri berkenaan berdasarkan kesan darah yang ditemui di tangga bangunan itu.

Penduduk yang menemui mangsa, Ahmad Azhari, 34, berkata ketika itu dia baru meletakkan keretanya di tempat letak kenderaan di bawah pangsapuri berkenaan.

Menurutnya, ketika berjalan menuju rumahnya, dia melihat benda seakan-akan bayi terbaring di tepi tong sampah di atas jalan.

“Saya pada mulanya menyangka benda itu anak patung, namun pelik apabila melihat ada kesan darah. Saya kemudian berjumpa jiran yang berada berdekatan dan menyuruhnya memeriksa objek itu dan terkejut apabila mendapati ia mayat bayi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Jirannya, Mokhtar Ahmad berkata, ketika melihat mayat bayi itu dari dekat, hatinya amat tersentuh kerana terdapat kecederaan teruk pada kepala bayi itu. Tak sangka ada manusia tergamak melakukan perbuatan kejam ini,” katanya yang melaporkan kejadian itu kepada polis.


Pengerusi Rukun Tetangga pangsapuri berkenaan, Ramli Abd Aziz, 43, berkata selama 17 tahun menetap di situ, ini kali pertama kejadian pembuangan bayi secara kejam berlaku.

“Geram apabila difikirkan mereka melakukan perbuatan kejam itu dan sayu rasanya ketika saya melihat darah bayi itu yang keluar dari kepalanya.

“Perasaan sedih kuat menyelubungi diri saya, tapi hendak menangis pun tidak berguna kerana kejadian sudah berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata polis tidak menolak kemungkinan bayi itu dicampak dari tempat tinggi iaitu pangsapuri berhampiran berdasarkan kecederaan parah pada kepalanya.

Menurutnya, polis menerima maklumat mengenai penemuan mayat bayi itu pada kira-kira jam 12.30 tengah malam dan pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati bayi yang cukup sifat itu besar kemungkinan baru dilahirkan berikutan masih bertali pusat.

“Di sebelah mayat bayi itu turut ditemui beg plastik yang mengandungi uri,” katanya yang merayu orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu segera menghubungi polis.

Kes pembunuhan dan pembuangan bayi ini yang ketiga berlaku di Lembah Klang dalam seminggu. Harian Metro semalam melaporkan mengenai penemuan mayat seorang bayi tersangkut di celah batu di Sungai Gombak, berdekatan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, jam 9 pagi, kelmarin.

Bayi perempuan itu dibawa arus sungai berkenaan ke kawasan itu berikutan maklumat orang awam menyatakan ternampak kelibat ‘anak patung’ terapung di kawasan berdekatan Stesen LRT Titiwangsa.

Pada 27 Mei lalu pula seorang penuntut kolej swasta berusia awal 20-an nekad menyimpan mayat bayi lelaki cukup sifat dilahirkannya dalam almari di bilik sebuah rumah di Cheras di sini, selama dua hari.

Penuntut terbabit melahirkan bayinya sendirian dan bayi itu dipercayai mati sejurus dilahirkan sebelum menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sini, kira-kira jam 12 tengah hari, selepas berasa bersalah dengan tindakannya.

Penuntut itu hadir ke balai polis sambil mendukung mayat bayinya yang dibalut tuala.

Sumber harian metro
............................................................................................................................................................................................................................


Para sahabat sekalian
Perbutan menghampiri zina (takrabul zina) ini cukup jelas di firmankan oleh Allah S.W.T. di dalam al-Quran surah al-Israk ayat 32 yang bermaksud : "Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan seburuk-buruk jalan."

Jika perbuatan seseorang itu belum sampai kepada tahap zina yang membawa hukuman hadd, maka ia dikenakan takzir, sama ada perbuatan itu belum mencukupi syarat-syarat seperti  berkhalwat, berpeluk-peluk, bercium-ciuman dan lain-lain seumpamanya. Semua itu adalah haram dan dikenakan takzir. Ia tidak syak lagi merupakan pendahuluan zina, maksiat dan dosa besar.

Semua perlakuan dalam hubungan di antara lelaki dan wanita yang sudah akil baligh dan bukan mahram, samaada dari segi zahir atau batin dikira sebagai perbuatan zina. Apa lagi perhubungan fizikal yang lebih rapat (bercumbu-cumbun, berdua-duaan, berdansar dan berhimpit-himpitan), terutama dalam keadaan aurat terdedah.

Dalam Islam, pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita ajnabi dilarang keras kerana segala tindak tanduk dalam pergaulan itu membuka peluang kepada mukadimah zina dan seterusnya melakukan perbuatan terkutuk itu.

Sahabat yang dimuliakan,
Islam bukan sahaja melarang mereka yang menghampiri zina tetapi Islam juga melarang  mereka  yang bersubahat dan terlibat secara langsung dengan perbuatan menghampiri zina. Ramai di antara kita tidak menyedari bahawa kita telah meletakkan sahamnya dan memberi ruang kepada perbuatan terkutuk ini. Di kalangan masyarakat Islam sekarang , ramai ibu bapa yang memberi peluang kepada anak gadis mereka berdua-duaan dengan teman lelaki, semata-mata untuk mereka berkenal-kenalan dahulu sebelum berkahwin.

Nabi S.A.W bersabda maksudnya : “Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka jangan sekali-kali dia berkhalwat dengan perempuan yang tidak ada bersamanya mahramnya, (kerana) sesungguhnya syaitan adalah orang ketiga bersama kedua mereka itu.”
(Hadis riwayat Ahmad)

Mereka tidak sedar atau mungkin sengaja tidak mahu menyedari bahawa dengan tindakan itu, mereka turut bersubahat memberi peluang anak gadis mereka terbabit di dalam budaya 'takrabul zina'. Mungkin anak gadis mereka tidak melakukan zina, tetapi mereka sekurang-kurangnya sudah mendekati zina seperti melakukan zina mata, zina tangan, zina kaki atau zina hati dengan teman lelaki mereka.

Ibu bapa juga kena ingat bahawa sekiranya anak gadis mereka sudah bertunang sekali pun mereka masih tidak dibenarkan keluar berdua-duaan dengan tunangnya tanpa mahramkerana selagi belum dijalankan akad nikah maka mereka diharamkan untuk berdua-duaan dan bergaul dengan bebas.

Sahabat yang dihormati,
Pengaruh budaya barat dalam kegiatan sosial ini harus disedari sebagai virus berbahaya yang merosakkan budaya Islam, sekali gus meruntuhkan kekuatan umat Islam sendiri. Peringkat awal, orang barat melancarkan perang bersenjata terhadap kerajaan Islam, tetapi gagal. Mereka menukar strategi kepada perang psaikologi, termasuk mendedahkan corak hiburan yang membawa kepada pergaulan bebas.

Hiburan dari barat sengaja dieksport ke nedara Islam sebagai satu strategi perang psikologi untuk melemahkan umat Islam. Tanpa kesedaran ini, umat Islam bukan sahaja tidak peka dengan matlamat hiburan barat itu, malah mereka menerimanya sebagai seni dan budaya global.

Allah S.W.T mengingatkan Rasulullah S.A.W dalam firman-Nya yang bermaksud : " Orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu sehingga kamu mengikut agama mereka. Katakanlah: 'Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)..."
(Surah al-Baqarah ayat 120)

Fenomena keruntuhan akhlak kini semakin serius di kalangan remaja Islam sehingga merebaknya wabak bohsia, bohjan dan pembuangan anak.

Betapa besarnya dosa zina Allah S.W.T berfirman maksudnya :
“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina (yang belum berkahwin), hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari kedua-duanya 100 kali sebat, dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum Agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat, dan hendaklah disaksikan hukuman siksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman”.
(Surah An- Nur ayat 2)

Seseorang yang melakukan zina Muhsan (sudah berkahwin) , sama ada lelaki atau perempuan wajib dikenakan keatas mereka hukuman had (rejam) iaitu dibaling dengan batu yang sederhana besarnya hingga mati. Sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitab I’anah Al- Thalibin juzuk 2 muka surat 146 yang bermaksud :

”Lelaki atau perempuan yang melakukan zina muhsan wajib dikenakan keatas mereka had (rejam), iaitu dibaling dengan batu yang sederhana besarnya sehingga mati”.

Daripada Abu Hurairah dan Zaid bin Khalid al-Juhani berkata : “Seorang lelaki desa datang menghadap Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam seraya berkata : ” Wahai Rasulullah ! Atas nama Allah, saya minta kepada Tuan supaya Tuan menjatuhkan hukuman kepada saya sesuai dengan Kitabullah.”

Kemudian berkata lelaki lawannya dan dia itu lebih pintar daripadanya: “Ya betul ! Putuskanlah perkara kami sesuai dengan Kitabullah dan izinkanlah saya lebih dahulu berbicara.”

Bersabda Rasulullah Sallalahu ‘Alaihi Wasallam “Berbicaralah.”

Katanya : “Anak lelaki saya bekerja menjadi pekerja orang ini, maka dia berzina dengan isteri orang ini dan sesungguhnya saya telah diberitahu bahawa anak saya itu harus dihukum rejam, maka saya tebus dia dengan seratus ekor kambing dan seorang sahaya perempuan. Kemudian saya bertanya kepada ahli ilmu, maka mereka mengatakan kepada saya bahawa anak saya itu dihukum sebat seratus kali dan dibuang negeri selama satu tahun, sedangkan isteri lelaki ini mendapat hukuman rejam (sampai mati).

Maka bersabda Rasullullah Sallalahu ‘Alaihi Wasallam : “Demi Allah yang jiwaku ditanganNya, sesungguhnya aku akan menjatuhkan hukuman di antara kedua belah pihak sesuai dengan Kitabullah. (Tebusan) Hamba sahaya dan kambing itu ditolak dan ke atas anakmu sebat seratus kali dan dibuang negeri satu tahun. Wahai Unais ! Besok pagi pergilah engkau kepada isteri orang ini ( dan periksa apakah dia memang berzina), jika dia mengaku, maka rejamlah dia !”

Berkata Abu Hurairah : Besok pagi Unais pergi kepada perempuan itu, (ternyata) dia mengaku (berzina).” Rasulullah memerintahkan supaya dihukum rejam, maka direjamlah perempuan itu.”
(Hadis riwayat Muslim)

Sahabat,
Di dalam realiti kita sekarang ini hukum hudud tidak dijalankan, sekiranya seseorang itu telah melakukan zina dan dia telah insaf di atas  kesalahannya yang lalu maka jalan terbaik adalah dia bertaubat nasuha  dan berazam tidak akan mengulanginya lagi perbuatan tersebut.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud :
"Sesungguhnya Allah membuka tangan selebar-lebarnya pada waktu siang untuk menerima taubat mereka yang melakukan dosa pada waktu malam, dan membuka tangan selebar-lebarnya pada waktu malam untuk menerima taubat mereka yang melakukan dosa pada waktu siang. Hal ini berkekalan sehinggalah matahari terbit dari sebelah barat."

Marilah sama-sama kita berusaha bersungguh-sungguh menasihati anak-anak kita dan remaja masa kini semoga mereka menjauhi zina dan aktiviti yang boleh menjurus kepada zina. Jika kita mendiamkan diri dan membiarkan anak-anak zina lahir ke dunia tanpa disekat jalan-jalan yang membawa kepada zina,  maka kita khuatir bala Allah S.W.T akan menimpa kita semua.

Nabi S.A.W.  bersabda maksudnya : “Daripada Maimunah Radhiallahu Anha beliau berkata : “Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : “Umatku (ini) akan terus berada dalam kebaikan selama tidak tersebar luas anak zina di kalangan mereka. Apabila anak zina tersebar luas di kalangan mereka, maka hampir sahaja Allah ‘Azza wajalla akan menurunkan azab siksa kepada mereka seluruhnya.”
(Hadis Riwayat Ahmad dengan sanad yang baik)

Nauzubillah Min Zalik
Wallahualam


No comments:

Post a Comment