Refleksi Bertunang Semasa Belajar
"Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Ustaz, saya ingin tanya satu soalan".
Mesej offline tiba-tiba muncul, sebaik sahaja penulis sign-in yahoo messenger.
"Just ingin minta pendapat sahaja".
"Saya ada berkawan dengan seorang lelaki dan dia juga merupakan pelajar di luar negara dalam Pengajian Islam. Dia mahu kami bertunang dalam fatrah kami masih student. Tapi saya tidak setuju, sebab kalau boleh saya nak habiskan belajar dahulu. Macam-macam alasan saya beritahu kepadanya untuk kebaikan bersama," tambah beliau (seorang perempuan yang disembunyikan identiti) lagi.
Dialog santai ini penulis terima dua minggu lepas, selepas usai menunaikan solat subuh di Masjid Syarifuddin El-Kurd. Ada beberapa tambahan kata-kata daripadanya, yang mana terkesan membaca beberapa sisipan artikel yang diterbitkan sebelum ini. Mungkin soalan nampak biasa-biasa sahaja, namun jenuh juga untuk menjawab mengikut situasi semasa. Kena tengok banyak sudut, baik dari sisi manfaat atau kesan buruk bila berlaku sedemikian. Boleh katakan kebanyakan dan lambakan e-mail yang penulis terima daripada para pembaca, adalah feedback daripada labels 'Keluarga Bahagia'. Berpeluh juga kalau fikir-fikirkan.
Kita semua akur dengan selera dan kehendak naluri insan terhadap pasangan idaman. Kita sedari bahawa sifat pasangan yang dianjuran Islam merupakan satu bentuk 'ilmu dalam pencarian' yang lazim diketahui umum.
Bahkan lelaki yang jahat sekalipun biasanya berharap untuk mendapatkan isteri yang solehah. Namun hakikatnya pertimbangan akhlak mulia yang disarankan agama biasanya tewas apabila ukuran fizikal telah mengelabui mata. Lelaki kebiasaannya akan memilih wanita yang cantik walaupun lidahnya menuturkan keinginan mendapatkan isteri yang solehah. Solehah seorang wanita sering kali tewas bila wajah tidak semanis budi. Itu hakikatnya nafsu lelaki.
Walau apapun, tergerak juga rasa hati anda sudah sampai untuk melabuhkan tirai bujang, sebetulnya anda berhak perolehi satu pujian selepas melihat kondisi dan beberapa faktor yang memungkin anda berbuat sedemikian.
Tahniah! Nabi bersabda; "Apabila datang kepadamu seorang lelaki, datang untuk meminang yang engkau redha terhadap agama dan akhlaknya. Maka nikahkanlah dia. Bila tidak engkau lakukan, maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan akan timbul kerosakan yang merata di muka bumi" ,(Hadith Riwayat Termidzi dan Ahmad) .
Definisi Pertunangan daripada Kaca Mata Islam
Ikatan sementara sebelum berlangsungnya sebuah akad nikah ini, sering kali disalah anggap oleh khalayak orang ramai khususnya muda-mudi. Seolah-olah simpulan ini menjadi 'lesen besar' untuk melakukan maksiat, dengan alasan 'kami sudah bertunang'. Justeru, sangat perlu kepada semua pasangan yang ingin atau sudah bertunang mengetahui hak dan batas-batas sempadan syariat sebelum sebuah ikatan yang hak, benar-benar terpatri. Islam telah mensyariatkan pertunangan sebagai langkah dan wasilah sebelum melangsungkan perkahwinan. Pertunangan banyak memberi faedah dan membantu dalam menjamin keutuhan rumahtangga yang bakal dibina. Namun roh sebenar sebuah ikatan ini merupakan subjektif yang memerlukan kefahaman yang jitu, dan harus dijaga agar kesuciannya tidak dinodai.
Pertunangan ialah satu langkah bagi seorang lelaki menyampaikan keinginannya untuk mengahwini seseorang perempuan yang disukainya samada langsung kepada perempuan tersebut atau kepada walinya. Ianya boleh dilakukan secara langsung oleh lelaki yang hendak berkahwin atau melalui wakilnya. Sekiranya hasrat hati lelaki itu diterima oleh perempuan berkenaan maka mereka menjadi pasangan tunang. Bermula dengan penerimaan wanita yang berkenaan sehinggalah masa Ijab dan Qabul, inilah yang dinamakan sebagai tempoh pertunangan.
Sebelum lelaki meminang seseorang perempuan, penting untuk dia merisik dan menyelidik latar belakang perempuan yang ingin dipinangnya terlebih dahulu serta yakin dengan pilihannya setelah melakukan Istikharah dan sebagainya. Yakin dengan pilihan pasangan ini sangat penting untuk mengelakkan pinangan yang dibuat ditarik balik. Ini kerana tindakan seperti ini akan menyakiti hati wanita, melukai perasaannya dan menjatuhkan kehormatannya. Tindakan seperti ini tidak dibenarkan oleh agama dan bertentangan dengan nilai murni dalam masyarakat Islam.
Namun jika sepanjang tempoh pertunangan tersebut bertaut, mungkin kekurangan yang dirasakan oleh pihak lelaki, maklumlah pertunangan ini juga boleh dianggap fasa untuk berkenalan dengan lebih dekat bakal pasangan sebelum betul-betul matang dan masak untuk mendirikan masjid. Bukan menolak pinangan, maksud penulis memutuskan talian pertunangan, iaitu ketika sedang bertunang. Jika berlaku juga, maka hendaklah di pihak lelaki menyembunyikan kekurangan atau kelemahan bekas tunangnya itu, bagi mengelakkan rasa aib pada diri dan ahli keluarganya.
Bagi pasangan yang bertunang mereka juga perlu menjaga batas dan larangan sepanjang bertunang kerana mereka masih lagi bukan mahram cuma ada ikatan dan janji mahu hidup bersama. Kononnya, kata orang-orang dulu 'Mahu hidup semati'. Mungkin sudah ada dalam senyap-senyap, dikalangan para pembaca yang merancang untuk melangsungkan pertunangan. 'Mata air' di tanah air, diri pula di perantauan. Rasa macam tak boleh tahan, bimbang 'si dia' dikebas lelaki lain. Tidak pasal-pasal mandi tak basah, makan tak kenyang, tidur pula asyik mimpi 'si dia' sahaja, dan baca pun tak masuk. Rasa marah kadang-kadang pun ada. Sudah nasib badan.
"Boleh ke ustaz, bertunang masa belajar?". "Nanti bila dah bertunang, lepas tu masing-masing ada komitmen dengan pengajian masing-masing sehingga berlanjutan sampai bertahun-tahun. Lama tu, kan makruh!" Kalau nak mudah jawab, boleh sahaja penulis katakan;
"Tu...! Tengok je orang kahwin ketika masih belajar, tidak ada apa-apa pun. Inikan pula bertunang. Bertunanglah, kalau nak sangat". "Itukan sunnah juga. Kenapa nak takut sangat".
Mungkin anda pun boleh meneka juga jawapan seperti di atas, sudah maklum katakan. Tapi mungkin juga ada betulnya, dari sisi yang lain akan timbul kesan-kesan yang tidak baik. Namun penulis menganggap ianya salah satu bentuk ujian, kenalah tabah dan sabar hadapinya. Penulis rasa tidak ada masalah, jika tempoh masa pertunangan tersebut lama. Lama dalam erti kata lain, kerana terkesan sibuk dengan tugasan, seperti pengajian dan sebagainya. Sebagai contoh, Kalau bertunang dua tahun, sorang sibuk kerja dengan pelbagai aktiviti, manakala sorang lagi sibuk dengan pengajian di bidang perubatan umpamanya.
Rasanya dua tahun tu sekejap sahaja, terutama untuk pihak lelaki yang bertanggungjawab untuk bersedia. Tapi kalau bertunang sampai enam bulan, kerja satu pejabat, duduk ditempat semacam cubicle mengadap antara satu dan lain. Hari-hari pula tu jumpa sehingga kenal 'lobang' dan bulu hidung, manakala rambut pula tak disikat pun boleh perasan enam bulan tu panjang dan lagi berisiko. Menolak tafsiran tekstual dan robotik.
Namun di sana, anda kenalah sahut cabarannya juga. Kenapa? Bagi penulis, ramai yang mengatakan mereka cuba menjaga tetapi terperangkap dalam masalah hati, iaitu zina hati yang 'Islamik Romantik'. Berbaur Islam, tetapi membawa kepada masalah penyakit hati yang parah dan kronik. Pandai-pandai jaga.
Matlamat Utama Jadi Sandaran
Konsep pertunangan yang semakin terasing dari kehidupan masyarakat kita sekarang. Pada penulis, kawalan diri kita tu paling utama. Kuat atau seseorang itu bergantung kepada keimanannya. Di sinilah, Iman ditugaskan menjadi sebagai remote control bagi perlakuan kita. Jadilah remote control yang efektif. Pandai-pandai kawal, bukan dengan nafsu tapi Iman. Sebaiknya kita tetapkan hati, pendirian dan bersederhana. InsayaAllah, kalau kedua-dua pihak memahami tujuan sebenar perkahwinan, mengikut saluran yang sebenarnya, mengambil jalan sederhana dan wara' dalam menjaga batasan, insyaAllah semuanya baik dan tenang sahaja. Menyerahkan urusan kepada kedua ibu bapa juga membantu melancarkan proses secara all rounder.
Mungkin bagi sesetengah indivudu, banyak cabaran semasa bertunang, setengah yang lain biasa-biasa sahaja. Semuanya sesuai dengan apa yang Allah Taala berikan. Apa yang baik disyukuri, dan yang kurang diredhai.
Baru betul! Berhubung antara pasangan tunang perlu juga diperhatikan, melainkan keperluan tentang perancangan yang penting. Sebaiknya dielakkan telefon kecuali bagi yang benar-benar mantap dan boleh menjaga hati serta tiada jalan lain untuk berbincang hingga ke rumah, itupun dengan parents atau orang tengah. Juga fokuskan kepada perancangan perkahwinan dan self-improvement.
Sebab ramai yang asyik dan mabuk di alam pertunangan, namun terlupa nak mempersiapkan diri untuk alam rumahtangga yang lebih penting lagi. Usah difikirkan banyak tentang hal ini, nanti lain pula jadinya. Jangan dilayan perasaan semasa bertunang. Fokuskan kepada kehidupan yang sedang dijalani dan diperjudikan sekarang. Berhubung dengan minimakan seminimanya. InsyaAllah, tiada resah gulana, dan tiada masalah.
Bertunang adalah satu wasilah. Cinta bukan segala-galanya. Namun segalanya yang dimulai dengan niat yang ikhlas, cara yang betul dan barakah akan menimbulkan dan memutikkan cinta yang sewajarnya selepas perkahwinan.
Kita kena dan perlu ingat! Naluri seorang ibu sungguh bernilai bagi seorang anak. Cuba jentik hati anda.
Adakah kita maksum dari segala dosa noda? Sekarang ini kita berjauhan dari kedua orang tua kerana seberkas ilmu. Pengorbanan perlu dilakukan demi kebahagian masa hadapan diri dan mereka. Layakkah kita mencari dan bertemu jodoh yang dapat dibimbing dan membimbing? Tapi memang itu harapan anda, kita semua. Selain mendapat pasangan yang mampu dibimbing dan membimbing kita, restu ibu bapa amatlah penting dalam membina masjid. Tidak perlulah kita membelakangi mereka hanya kerana cinta. Cinta yang entah 'suci dalam debu' atau 'suci dalam asap'. Kenanglah pengorbanan mereka yang tidak terbalas walaupun segunung emas menjadi taruhan. Bukan lirik lagu semata-mata, tapi sebuah harapan.
Berhubungan semasa di alam pertunangan bukan tiket bagi kita untuk bergerak bebas dengan tunang. Ingat!
Sekarang orang yang ber'couple' pun sudah berlagak seperti suami isteri dan lupa dunia. Tanyakan diri anda (kita), kemanakah kewarasan kita dalam membuat pertimbangan? semoga Allah Taala masih memberi kita ruang waktu untuk bertaubat di hamparan keheningan malam dengan penuh kehinaan. Pohonlah keampunan dari-NYA.
Allah Taala berfirman; "Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." Surah al-Baqarah (2:186)
- Artikel iluvislam.com
No comments:
Post a Comment