Saturday, 19 November 2011

Mas Kahwin Paling Berkat

Mahar adalah harta atau manfaat yang wajib ditunaikan oleh seorang lelaki kepada perempuan yang hendak dikahwininya.

Ini berasaskan kepada firman Allah yang bermaksud: "Berilah mas kahwin (mahar) kepada wanita yang kamu nikahi sebagai pemberian dengan penuh kerelaan." - (An-Nisa: 4).

Rasulullah pernah meminta seorang sahabat yang ingin berkahwin supaya membayar mahar walaupun dengan sebentuk cincin besi dan tidak pernah berlaku dalam sebarang perkahwinan itu berlangsung tanpa membayar mahar, sama ada oleh Rasulullah atau sahabat.

Berasaskan ayat al-Quran dan hadis dan apa yang berlaku pada zaman Rasulullah inilah maka kalangan ulama atau fuqaha sudah ijmak bahawa mahar adalah pemberian yang wajib diberi oleh suami sebagai hak perempuan yang wajib ditunaikannya.

Mengenai kadar mahar, sebenarnya tidak ada kadar tertentu tetapi yang penting ia mestilah daripada sesuatu yang mempunyai nilai (kewangan) atau ada manfaatnya.

Pernah berlaku pada zaman Rasulullah, seorang yang tidak mempunyai kewangan dan kemampuan tetapi apabila hendak berkahwin, Rasulullah bertanya: "Adakah engkau tahu membaca al-Quran?"

Orang itu mengaku bahawa dia tahu membaca surah tertentu di dalam al-Quran lalu Rasulullah berkata: "Ajarkan surah-surah itu kepada isterimu sebagai mahar."

Dalam konteks ini, bacaan surah daripada al-Quran itu, tidak merupakan barangan tetapi ia tetap menjadi manfaat yang boleh dikecapi oleh isterinya itu.

Mengenai persoalan kadar maksimum sesuatu mahar, Islam tidak menetapkannya kerana ia adalah hak wanita.

Dalam hal ini, terpulanglah kepada mereka untuk menetapkan sebanyak mana yang dikehendaki.

Bagaimanapun Rasulullah menggalakkan umat Islam supaya memberikan mahar yang sedikit, mudah dan sederhana.

Rasulullah bersabda, bermaksud: "Wanita yang paling berkat ialah yang paling murah maharnya dan mudah urusan perkahwinannya."

Pada hadis ini jelas Rasulullah menggalakkan umat Islam supaya tidak mengenakan mahar yang terlalu tinggi dan di sinilah duduknya keberkatan rumah tangga.
 

No comments:

Post a Comment